Rabu, 14 September 2016

CINTA KEPADA ALLOH DAN ROSUL

Tanda Cinta Kepada Allah Dan RasulNya  


 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Semua orang boleh berkata dan mendakwa, "Saya cinta dan kasih kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW" . Adakah cinta dan kasih itu hanya ucapan di mulut sahaja atau adakah selepas berkata-kata perlu kepada tindakan?

Sebenarnya cinta dan kasih itu tidak bernilai dan berfungsi jika ianya terletak dibibir mulut sahaja kerana selepas berkata-kata perlu diiringi dengan tindakan, pengorbanan dan perbuatan.


Cinta dan kasih kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dibuktikan dengan pengobanan di jalan Allah SWT atau disebut Infak fisabilillah.  Maksud Infak fisabilillah atau berkorban pada jalan Allah mengikut pengertian syariat ialah berbelanja apa yang ada ke jalan yang diredai oleh Allah atau berkorban berhabis-habisan apa yang ada, sama ada harta, wang ringgit, tenaga, masa, fikiran hatta nyawa sekalipun semata-mata untuk Allah.

Berkorban atau berbelanja pada jalan Allah SWT ertinya terpaksa kurangkan harta atau susutkan harta, kurang wang ringgit, kurang masa untuk dirinya berehat , tidak ada masa untuk berborak-borak kosong atau menghabiskan masa berjam-jam menonton filem-filem rekaan yang kurang berfaedah.

Jiwa mereka yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya akan menfaatkan apa saja yang dimiliki untuk berkhidmat kepada Islam. Memiliki rumah yang besar dan cantik akan digunakan untuk majlis ilmu dan program tarbiah. Jika memiliki syarikat maka sebahagian keuntungan syarikat akan diinfakkan dijalan Allah SWT, semuanya dilakukan semata-mata mencari keredaan-Nya.


Firman Allah SWT dalam hadis qudsi melalui Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepada-Ku sehasta maka aku mendekatkan diri-Ku kepadanya sedepa. Kalau hamba-Ku datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari.”

(Hadis Riwayat Bukhari dari Anas r.a)


Sahabat yang dimuliakan,

Setiap perjuangan untuk mendapat cinta dan kasih yang suci perlu kepada kesabaran dan ujian. Kesabaran dan istiqamah ini adalah satu nilai yang cukup berharga disisi Allah SWT dan tidak ada balasan yang paling setimpal untuknya melainkan pahala yang besar dan balasan syurga.


Allah SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berkorban untuk jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah ayat 111

Semua sahabat-sahabat Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Al Khattab, Saidina Usman dan ramai lagi telah membuktikan cinta dan kasih mereka kepada Allah dan Rasul-Nya dengan berkorban apa sahaja yang diperlukan. Sebahagian besar masa, tenaga, harta dan hidupnya dikorbankan untuk Allah. Kalaupun ada untuk kepentingan diri dan keluarga, ianya terlalu sedikit. Sebab itulah Islam cepat berkembang dan cepat menguasai dunia.
Sifat atau watak mereka ini yang paling ketara ialah keghairahannya pada perjuangan Islam dan berkorban untuknya. Yakni menegakkan kalimah Allah pada diri, keluarga, masyarakat dan seluruh sistem hidup. Segala masa, tenaga, fikiran, harta dan keupayaannya dikerahkan pada kerja-kerja menegakkan sistem hidup Islam.
Untuk itu dia sudah jual segala yang ada padanya ke jalan Allah kerana hendak membuktikan cinta dan kasihnya kepada Allah. Kalau begitu bolehlah kita katakan, orang yang berkorban pada jalan Allah kerana orang itu telah mencintai Allah. Ertinya, pengorbanan dan cinta, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kalau ada cinta, ada pengorbanan dan kalau ada pengorbanan, ertinya kerana adanya cinta.

Apakah ciri-ciri atau  bukti cinta dan kasih seorang mukmin itu kepada Allah dan Rasul-Nya?

1. Dia akan meletakkan kepentingan Allah dan Rasul-Nya lebih daripada kepentingan lain walaupun terhadap diri sendiri dan ahli keluarganya.

2. Dia tunduk, patuh dan menyerahkan dirinya sepenuhnya tanpa syarat kepada semua suruhan Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya

3. Dia bekerja untuk mendaulatkan sistem hidup Islam (melaksanakan syariat Allah SWT) samaada dalam keluarga, organisasi/ pertubuhan atau parti politik, bukannya untuk mengejar pangkat, kuasa dan wang ringgit semata-mata. Niat yang ikhlas perlu disertai dengan matlamat yang bersih dan betul.

4. Cinta kepada Rasulullah bukan sahaja kita berdemontrasi marah kepada orang kafir yang mempersendakan Islam dan baginda SAW, tetapi kita perlu mengikuti ajaran dan sunah yang dibawa oleh baginda SAW dalam kehidupan kita sehari-hari. Nabi SAW memiliki akhlak yang mulia bersifat berlemah lembut, pemaaf, pengasih, penyayang, pemurah, tidak ada perasaan dendan dan hasad dengki. Jika seseorang mempertikaikan hukum hudud yang dibawa dan dilaksanakan oleh Nabi SAW itu bermakna dia juga sedang menghina baginda SAW tanpa disedari.

5. Dia perlu memberi sedekah dan infak hartanya dijalan Allah SWT. Bukan setakat hartanya malahan masa, tenaga, buah fikirannya di perah sepenuhnya untuk mendaulatkan Islam, berdakwah, mentarbiah dan kerja-kerja amar makruf nahi munkar.

Dalam firman-Nya yang lain, Allah SWT menyeru yang bermaksud : “Wahai mereka-mereka yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat melepaskan kamu daripada azab yang pedih? Iaitu hendaklah kamu beriman dengan Allah dan Rasul-Nya. Dan berjuang pada jalan Allah dengan harta dan jiwa raga kamu. Itulah yang paling baik jika kamu orang yang mengetahui.” (Surah as-Saf ayat 10-11)

Sahabat yang dikasihi,

Marilah sama-sama kita memperkukuhkan cinta dan kasih kita kepada Allah dan Rasul-Nya dengan bekerja dan berkorban dijalan Allah SWT kerana ini adalah tanda-tanda cinta tersebut di realisasikan dalam kehidupan. Ulama ada berkata, " Sekiranya kalian ingin menjadi para mujahidin di akhirat kalian perlu menjadi para mujahidin ketika di dunia."

Seseorang hamba Allah dimasukan ke syurga dengan rahmat Allah SWT bukan kerana amalannya di dunia tetapi untuk mendapat rahmat Allah SWT perlu beramal soleh, beramal ibadah dan berjihad dijalan Allah SWT dengan harta dan jiwa raga.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar